Kesalahan membunuh diri merupakan satu kesalahan yang terlalu besar. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia, seperti dijelaskan oleh Nabi SAW.
“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Dari Jundub bin Abdillah RA, katanya Nabi SAW bersabda:
“Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ditimpa musibah, lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah SWT: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Hukum Orang Bunuh Diri Dan Menyolatkan jenazahnya
Perbuatan membunuh diri adalah termasuk di dalam kesalahan dosa-dosa besar, perbuatan membunuh diri ini TIDAK termasuk di dalam perkara yang menyebabkan seseorang keluar daripada Islam (murtad), sebagaimana yang difahami oleh sebagian daripada kita, melainkan bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, jika dia menghalalkannya maka ketika itu dia dihukumkan sebagai kafir/murtad.
Kita tidak menghukumkan orang yang bunuh diri sebagai murtad, kerana Nabi S.A.W. tidak melarang para sahabat dari menyolatkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun baginda sendiri tidak menyolatkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia, tidak menyolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri sebagai mengikut perbuatan Nabi SAW dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Dari Jabir bin Samurah RA. katanya:
“Didatangkan kepada Nabi S.A.W. jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyolatkan untuknya.” (HR.Muslim)
Al-Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadits ini menyebutkan:
“Hadits ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disholatkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakala al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disholatkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadits ini yang baginda tidak menyolatkannya sebagai melarang manusia yang lain dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disholatkan oleh para sahabat…”
Adapun mengenai teks hadits yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, ia ditujukan kepada orang yang menghalalkan perbuatan membunuh diri tersebut, atau maksudnya boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azab ke atasnya di dalam neraka. Wallahu a`lam.
Disusun Oleh : H.Muhammad Nasri
Tidak ada komentar:
Posting Komentar